schedule class

Tuesday, September 28, 2010

Sindrom kedatangan haid hanya psikologi


“ALAH, bos kau PMS lah tu…asyik nak marah.” Mungkin anda biasa mendengar kata-kata itu atau jika anda seorang wanita, anda kerap menggunakannya untuk merujuk kepada tingkah laku wanita lain.

Premenstrual syndrome (PMS) atau sindrom kedatangan haid bukan penyakit, sebenarnya hanya psikologi. Sejak dulu, PMS membawa kontroversi sendiri dalam dunia perubatan. Disebabkan ia bukan penyakit dan lebih kepada psikologi, ramai beranggapan PMS sebagai ‘senjata’ yang diperbesarkan untuk memperolok-olokkan wanita.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Damai Service Hospital, Dr Mahes Sithampalam, berkata wanita yang tidak tahu apa itu PMS, tidak akan berhadapan dengannya manakala bagi mereka yang tahu, akan cuba mengaitkan apa saja yang berlaku di persekitaran mereka dengan PMS.

“Dalam kehidupan suami isteri mesti ada gaduh-gaduh sikit. Kalau isteri marah-marah, suami pun akan cakap, awak ni PMS ke? Begitu juga kalau bos anda wanita. Fikirlah, wanita itu pun manusia, ada suami, anak dan kerja. Kalau wanita tidak kahwin pun, dia masih manusia.

“Setiap manusia ada perasaan. Kalau wanita itu marah, bukan semestinya dia PMS. PMS ini hanya alasan yang digunakan untuk memperlekehkan wanita,”katanya.

Walaupun menimbulkan kontroversi, PMS diterima sebagai sekumpulan simptom yang dikaitkan dengan kitaran haid. Ada 150 simptom dikaitkan dengan PMS, tetapi yang paling popular ialah tekanan dan masalah emosi.

PMS selalunya terjadi seminggu atau dua minggu sebelum haid. Kebanyakan orang percaya, wanita yang didatangi haid akan mengalami simptom PMS. Selalunya simptom itu akan hilang dengan sendirinya apabila haid bermula.

Punca sebenar PMS sebenarnya tidak diketahui dengan jelas. Ada pendapat yang mengaitkannya dengan perubahan hormon wanita ketika kitaran haid, tetapi ada sesetengah wanita yang tidak mengalami PMS. Jika ada, mungkin sedikit saja. Ini mungkin disebabkan tahap hormon yang terjejas.

Begitupun, PMS banyak juga dikaitkan dengan kekurangan tubuh menerima diet yang betul. Wanita dengan PMS yang kronik mungkin memerlukan lebih banyak makanan tambahan dalam bentuk tenusu selain makanan tambahan yang lain.

Bagaimanapun, jumlah sebenarnya bergantung pada simptom individu. Merujuk pada Women’s Nutritional Advisory Service, sangat penting untuk mengetahui nutrisi sebenar yang mempengaruhi PMS seseorang wanita.

Ada penyelidikan yang mendakwa perubahan dalam diet dan pengambilan sesetengah vitamin serta mineral membantu wanita menangani PMS. Vitamin E, B6, multivitamin dan magnesium dikatakan memberi kesan efektif, tetapi sebagai manusia, setiap orang punya perasaan. Lelaki atau perempuan, mereka tahu apa itu marah, suka, menyampah atau sinis.

Mungkin disebabkan kewujudan PMS dan kaitannya dengan kitaran haid, ramai daripada kita suka menyimpulkan jawapan sendiri setiap kali seorang wanita itu marah.

“PMS lah tu, nak datang bulan,” dan pelbagai lagi andaian timbul tanpa mahu menyelami apa sebenarnya punca masalah mereka.

Justeru, PMS sebenarnya lebih kepada bagaimana wanita itu mengendalikan perasaan dan dirinya sendiri. Menjadikan PMS sebagai ‘lesen’ untuk anda memarahi orang lain atau menuding jari pada orang lain bukan langkah yang bijak.

“Jika anda mempunyai jati diri yang tinggi, PMS tidak akan menjejaskan kualiti peribadi,” katanya.

FAKTA: Simptom

  • Jerawat
  • Payu dara yang bengkak
  • Keletihan
  • Sukar tidur
  • Sakit perut
  • Kembung/sembelit atau cirit-birit
  • Sakit kepala atau sakit belakang
  • Kuat makan atau kurang selera makan
  • Sakit sendi atau otot
  • Sukar menumpukan perhatian dan mudah lupa

    Sumber: Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia, Amerika Syarikat.

  • 2 comments:

    Kartini said...

    Alahai, how many times have I used that excuse whenever I feel cranky..? Too many.. Hehe...

    OweizMeZ said...

    kaaann.. we love excuses kn? me too.. semlm actually terasa malas2 cranky a bit.. terus "im hvg my PMS! stay away!!"

    Followers